Friday, April 4, 2014

Tazkirah Facebook 91 (Mac 27, 2014)



Heboh diperkatakan orang
kononnya di pulau sana ada banyak batu permata.
Semua orang mahu ke sana, kita pun mahu pergi juga.

Orang tua-tua sudah berpesan…
sebelum ke pulau sana,
belajar ilmu mengenal batu permata terlebih dahulu.
Kita malas, kita berasa tidak penting, kita sibukkan diri dengan hal lain.

Tibalah harinya semua ke pulau sana.
Penuh pantainya dengan batu-batu bercahaya.
Mendarat sahaja, terus kita menerpa,
mengisi karung seguni dua.

Pulang…
Megah rasanya membawa batu seguni dua.
Tapi berasa pelik juga…
mengapa ada orang yang hanya membawa pulang seuncang dua…?

Ketika mahu dijual barulah ternganga
batu-batu yang dipungut semuanya batu biasa
kecuali tiga ketul sahaja yang asli permata.

Malah terkedu melihat
mereka yang hanya membawa seuncang dua tadi
tetapi kesemuanya berisi sebenar permata.

Begitulah jadinya jika kita tidak ada ilmu mengenal permata.

Samalah halnya dengan sifat-sifat mahmudah.
Bagaimanalah hendak memperoleh, menanam dan menyuburkannya
jika kita tidak mengenalinya?

Kesannya
Kita hanya terpersan yang kita punya sifat-sifat mahmudah
padahal tidak ada.
Kalau ada pun, sekadar asas-asasnya sini sana.
Jadilah kita seperti pencari batu permata
yang tidak mengenal permata.

Pelajarilah ilmu tasawuf
agar dapat menjadi pencari permata mahmudah
yang kenal mana satu permata mahmudah.

No comments:

Post a Comment