Zaman dahulu…
Anak kita hendak pergi
merantau jauh, entah kembali entah tidak. Sebagai ibu bapa yang
bertanggungjawab, kita bekalkan anak kita dengan peta, kompas dan teropong.
Sekalipun dia tidak mahu benda-benda itu, kita tetap masukkan ke dalam begnya.
Sekalipun dia keberatan, kita ajarkan juga cara-cara menggunakan alat-alat itu.
Dalam perjalanan meredah
hutan belantara dan lautan, anak kita tersalah jalan. Sekali pun tersesat
jalan, dia tetap meneruskan perjalanannya. Hinggalah pada suatu hari, dia sedar
yang dia perlu berpatah balik ke pangkal jalan, iaitu ke negeri asalnya. Dapatkah
dia berpatah balik?
Kemungkinan besar dia
berjaya kembali ke pangkal jalan kerana di dalam begnya ada peta untuk pulang
ke negerinya, ada kompas sebagai penunjuk arah dan ada teropong untuk melihat
benda-benda yang jauh. Tapi bagaimana kalau ibu bapanya tidak memasukkan peta,
kompas dan teropong serta tidak mengajarkannya cara-cara menggunakannya? Kemungkinan
besar dia gagal berpatah balik.
Begitulah halnya dengan
ilmu dan pemahaman agama. Dari anak-anak masih kecil, ibu bapa mestilah
berusaha keras menerapkan ilmu-ilmu dan pemahaman agama, sekalipun anak-anak
tidak menggemarinya. Hal ini kerana, sekiranya anak-anak tersalah haluan
hidup apabila dewasa kelak, dan kemudiannya dia terfikir untuk berubah ke arah
kebaikan (hidup beragama), dengan mudah dia dapat berpatah balik kerana dia
sudah tahu membaca Al-Quran, ilmu bersuci, cara solat, ilmu berpuasa, cara
berinteraksi dengan hadis-hadis dan sebagainya.
Tapi kalau insaf ketika
sudah berumur sudah 50 tahun (sekadar contoh), ada jawatan dan kedudukan
(dipandang tinggi oleh orang-orang), kesihatan semakin menurun…… baru hendak
belajar alif ba ta, cara mandi wajib, cara mendirikan solat….. memang susah untuk
dia hendak berpatah balik.
Orang yang sudah ada
‘alat’ untuk pulang dan tahu cara menggunakannya, biasanya berjaya pulang
dengan segera dan selamat.
Orang yang tidak ada
‘alat’ untuk pulang, biasanya sangat sukar untuk pulang, ataupun mungkin tidak
sempat pulang, ataupun dia berputus asa lalu membatalkan hasratnya untuk
pulang.
Kepada ibu bapa, sediakan
‘alat’ untuk anak-anak sekalipun mereka tidak minat, sekalipun kita sendiri
mungkin tidak minat.
Kepada individu, sediakan
‘alat’ yang sewajarnya untuk diri masing-masing.
No comments:
Post a Comment