Wednesday, August 8, 2012

Tazkirah Facebook 23 (Ogos 8, 2012)

Mereka kata : “Agama ialah candu kepada manusia zaman berzaman.”
Mereka silap… kesilapan tahap maksima.

Kita katakan : “Keinginan untuk lari dari Tuhan dan agamalah, raja segala candu kepada umat manusia dan jin zaman-berzaman.”

Sebab itu di sekeliling kita…
Ada yang menolak terus agama.
Ada yang mengambil separuh.
Ada yang mengambil suku.
Ada yang mengambil bahagian agama yang mana menyedapkan mereka dan menolak bahagian agama yang tidak menyedapkan mereka. Islam pilih-pilih namanya itu.

Bukankah itu semua perlakuan umat manusia dan jin zaman-berzaman, iaitu mahu lari dari Tuhan dan agama?
Kita? 

Ambillah agama keseluruhannya, sama ada ia sedap bagi kita mahupun tidak.
Beragama 100%, mengambil 100% daripadanya.

Abu Zulfiqar
8 OGOS 2012

Tazkirah Facebook 22 (Ogos 7, 2012)

Mahu berkahwin?
Memang baaanyak perkara perlu difikir dan dipertimbangkan.

Sebagai lelaki, ANTARA (maksudnya ada banyak lagi yang lain) fikiran yang sesuai ialah…….
“Mampukah aku mentarbiyyah isteri/ isteri-isteriku nanti?”
“Mampukah aku menjadi contoh yang soleh kepada anak-anak kami nanti?”
“Melihatkan gayanya… mahukah dia/mereka menerima tarbiyyahku?”

Ambil masa dan cuba bina jawapan sendiri.
Mampu? Tak mampu?
Mahu? Tak mahu?

Yang mana satu pun jawapannya, yang pasti di sana ada tindakan/usaha/ikhtiar yang yang mesti diambil mulai hari ini.

Sebagai wanita pula, ANTARA fikiran yang sesuai……
“Mampukah dia mentarbiyyah aku nanti?”
“Mampukah dia menjadi contoh yang soleh buat diriku dan anak-anak kami nanti?”
“Melihatkan gayanya… mahukah dia mentarbiyyah kami semua nanti?”

Ambil masa dan cuba bina jawapan sendiri.
Mampu? Tak mampu?
Mahu? Tak mahu?

Yang mana satu pun jawapannya, yang pasti di sana ada tindakan/usaha/ikhtiar yang mesti diambil mulai hari ini.

Alhamdulillah syukur.
Setakat ini mana-mana orang yang meminta pandangan saya apabila hendak mendirikan rumahtangga dan saya berikan persoalan-persoalan di atas, tidak kira lelaki ataupun wanita, dan mereka mengambil tindakan/usaha/ikhtiar, nampaknya mereka mendapat jodoh yang baik dan hidup bahagia, sekalipun tidak kaya. Ringkas sahaja panduan yang diberi, tapi ia dapat mempengaruhi hidup kita untuk tempoh yang lama. WaAllahua’lam.

Abu Zulfiqar
7 OGOS 2012

Tazkirah Facebook 21 (Julai 26, 2012)

Banyakkanlah rakan-rakan yang agamawan, bukannya yang tak ketahuan.

Kita mudah terpengaruh dengan persekitaran, maka usahakanlah membentuk persekitaran yang positif. Salah satunya ialah dengan berusaha membanyakkan rakan-rakan yang agamawan.

Mempunyai ramai rakan yang agamawan, memanglah bukan kayu ukur kepada keimanan. Namun begitu, sekurang-kurangnya mereka membentuk suasana persekitaran kita. Bukankah kita mudah dipengaruhi oleh suasana persekitaran?

Sudahkah kita mempunyai ramai rakan-rakan rapat yang agamawan? 
Ataupun lebih ramai lagi rakan-rakan rapat yang tak ketahuan?

Tazkirah Facebook 20 (Julai 24, 2012)

Menutup aurat, sudah ramai yang buat. 
Membalut aurat, lagi ramai yang buat. 
Tapi... menutup aurat dengan sempurna, jenis ini yang sukar dicari.