Monday, July 23, 2012

Tazkirah Facebook 19 (23.7.12)

Memasukkan ilmu--ilmu agama ke dalam diri sangatlah bagus dan tidaklah sesusah mana. Tapi... menyeimbangkan kemasukan ilmu-ilmu itulah yang sukarnya, menyebabkan seseorang itu tenggelam dalam ilmu-ilmu agama kesukaannya sahaja, menghukum seluruh permasalahan dengannya sahaja, dan sering tertipu kerana merasakan dirinya sedang berada di landasan yang terbaik.
 
Ilmu-ilmu agama Islam ini begitu banyak juzuk-juzuknya. Berusahalah untuk menyeimbangkan input ilmu-ilmu ini ke dalam diri, kerana ia akan membentuk jiwa dan pemikiran. Jangan mudah berasa senang hati dengan juzuk-juzuk ilmu agama Islam yang sudah atau sedang dikuasai, banyak lagi yang mesti diterokai.
 
Jauh bezanya antara hukuman yang datang dari seorang yang berpengetahuan dalam pelbagai juzuk ilmu agama, berbanding hukuman orang yang menguasai 1-2 juzuk sahaja lalu berhukum dengannya.
Seimbangkan input ilmu-ilmu agama ke dalam diri kita mulai hari ini.

Tazkirah Facebook 18 (11.4.2012)

Masjid-masjid dan surau-surau bertambah jemaah Maghrib hari ini. Begitulah cara Allah mengingatkan hamba-hamba-Nya. Diberinya sedikit gempa bumi, sebagai tanda kasih sayangNya kepada kita. Dia mahu kita kembali dekat dengan-Nya. Terima kasih Tuhan.

Tazkirah Facebook 17 (9.3.12)

Diri kita umpama sehelai kertas. Warnanya putih kerana banyaknya kebaikan yang kita buat. Apabila kita melakukan satu-satu kesalahan sama ada disengaja atau tidak, terpalit setitik dakwat hitam di atasnya. Begitu juga jika kita punya sesuatu kelemahan.

Biasanya manusia akan terdorong untuk melihat titik hitam yang sedikit itu berbanding keseluruhan kertas yang putih. Biasanya manusia terdorong untuk menghukum kita berdasarkan titik hitam, bukannya keseluruhan kertas yang putih.

Kebaikan kita walau sebanyak mana pun, susah orang hendak nampak dan iktiraf. Tapi kesalahan, kesilapan atau kelemahan kita walaupun kecil, cukup cepat orang nampak.

Oleh itu, berhati-hatilah. Berusahalah agar kertas putih kita tidak terpalit apa-apa kotoran lain, sekalipun kecil. Kerana selalunya manusia menghukum kita dengan melihat kotoran yang sedikit itu.

Tazkirah Facebook 16 (7.3.2012)

Rajin mendengar ceramah popular memang bagus, tapi... rajin mendengar ceramah popular DAN rajin juga mendengar kuliah bersiri (berkitab), adalah lebih bagus.

Ceramah popular dapat mencetuskan rasa suka kepada agama dan ilmu-ilmunya. Ceramah popular juga dapat mengekal malah menambahkan rasa itu bagi mereka yang sudah sedia suka akan agama dan ilmu-ilmunya. 

Namun dengan hanya rajin mengikuti ceramah-ceramah popular, tidak dapat menjadikan seseorang itu banyak ilmu agamanya walaupun memang ada pertambahan. Tidak ada orang yang hanya menghabiskan usahanya mengejar ceramah-ceramah popular bertahun-tahun, kemudiannya kita dapat tahu dia berjaya menjadi seorang ilmuwan agama. Tidak ada.

Untuk mendapatkan pemantapan, pelambakan dan pendalaman ilmu-ilmu agama, kita hendaklah rajin pula mengikuti kuliah-kuliah bersiri. Terbukti, ramai juga mereka yang rajin mengejar kuliah-kuliah bersiri, bertahun-tahun selepas itu akhirnya berjaya pula menjadi seorang pengajar.

Teruskanlah mendengar/mengikuti ceramah-ceramah popular, tapi luangkanlah juga masa untuk mendengar/mengikuti kuliah-kuliah bersiri (sama ada secara langsung ataupun melalui media seperti internet), sekalipun kita tidak bercita-cita untuk menjadi seorang pengajar suatu hari nanti. Tapi... takkanlah kita tak mahu mentarbiyyah isteri dan anak-anak? Cukupkah ilmu dan motivasi dari ceramah-ceramah popular sahaja untuk mengajar agama kepada mereka?

Ceramah popular isinya bersifat umum. Huraian dan bahasannya terdapat dalam pengajian berkitab. Oleh itu, jangan berpuas hati sekadar dengan menjadi seorang peminat ceramah popular. Jadilah juga peminat tegar kuliah bersiri (berkitab).

Tazkirah Facebook 15 (Rabu 8.2.12)

"Kenapalah hidup aku selalu tidak bahagia dan doa-doa aku tidak dimakbulkan Tuhan...?"

..... kerana amalan-amaln harian dan keadaan diri kita yang bertentangan dengan kehendak agama menjadi tembok penghalang kepada rahmat Tuhan dan kemakbulan-Nya. Buang tembok penghalang itu terlebih dahulu, insyaAllah datanglah bahagia dan kemakbulan doa.

Masalahnya... manusia sangat sukar untuk berubah, apatah lagi jika perubahan itu melibatkan zahir dan batinnya kepada patuh kepada kehendak-kehendak agama.

Marilah kita buat perubahan bermula sekarang. Rasailah nikmat taat dan patuh.

Tazkirah Facebook 14 (23.1.12)

Taat/patuh (kepada perintah Tuhan) itu satu nikmat yang sangat lazat, tetapi syaitan dan nafsu menyalutnya dengan pelbagai dongengan, sehinggakan kita berasa taat/patuh itu suatu bebanan.

Kita lebih yakin... bahawa ketaatan dan kepatuhan itu akan membuatkan kehidupan kita tidak selesa, dan terlepas begitu banyak kenikmatan dunia.

Kita juga awal2 lagi sudah tidak yakin, bahawa ketaatan/kepatuhan akan membuatkan hidup kita selesa, hati kita tenang dan hidup kita bahagia. 

Sebab itu ramai manusia memilih untuk tidak taat/patuh. Mereka memilih-milih. Jika perkara yang disuruh ditaat/patuh itu 'menyedapkan' mereka, mereka akan taat dan patuh. Jika perkara yang disuruh taat/patuh itu tidak 'menyedapkan' mereka, mereka suka memilih untuk tidak taat/patuh.

Terimalah Islam secara keseluruhan, bukan secara memilih-milih.

Tazkirah Facebook 13 (30.12.11)

Hebatnya kasih Tuhan. Sakit yang diberi-Nya berupa penghapusan dosa. Sakit yang diberi-Nya menjadi petanda perhatianNya ke atas kita. Sakit yang diberi-Nya berupa penambahan pahala, jika kita bersabar. Pahala bersabar pula tidak ada had. Ia berterusan mengalir.

Sakit membuatkan kita lebih berfikir tentang keinsafan dan kebaikan. Sakit membuatkan kita berasa sangat rapat dengan-Nya.

Para nabi juga jatuh sakit. Para wali juga pernah tidak sihat. Bukan kita sahaja yang dirundung ketidakselesaan.

Tanpa sakit, kita mungkin sudah lama melupakan Tuhan, kita mungkin semakin hanyut dari laluan, kita mungkin semakin tenggelam dalam lautan kealpaan.

Maha Hebat Engkau ya Allah.

Tazkirah Facebook 12 (23.12.2011)

Hidup pada akhir kepada akhir zaman ini... penuh, malah berlimpahan dengan nikmat. Banyak perkara yang orang-orang terdahulu tidak sempat menikmatinya, tapi kita nikmati sehari-hari. Lihatlah sekeliling kita.
Nikmat peti sejuk, pendingin hawa, televisyen, kenderaan bermotor, pesawat terbang, komputer, kamera, elektrik, makanan pelbagai bangsa, tandas moden, air paip, kasut sukan, telefon, lif, stesen bas... dan pelbagai lagi.

Sepatutnya, lagi bertambah nikmat bertambahlah kesyukuran dan ketaatan. Tetapi yang berlaku adalah sebaliknya. Kita jadi semakin rakus mengejar keduniaan dan sering engkar.

Dengan pelbagai nikmat akhir zaman ini pun, kita masih sering mengeluh, masih berasa banyak yang kurang. Maka terkejar-kejarlah kita dari satu nikmat ke satu nikmat. Padahal nikmat-nikmat yang sudah sedia ada pun kita tidak terfikir untuk mensyukurinya.

Bagi ahli-ahli sufi, dunia ini pun sudah seakan syurga. Terlalu banyak nikmat yang kita kecapi sehari-hari. Kita tidak menyedarinya kerana kita jenis yang tidak tahu bersyukur. 

Nikmat memandang, menghirup udara, merasa jenis-jenis makanan, bersuara dan berbual, mendengar, berkenal-kenalan, berkeluarga, berkasih sayang, tidur, buang air, senyum tawa, kenyang... 

Ya Allah... alangkah banyaknya nikmat yang sudah Engkau hadiahkan kepada kami selama ini. Ampunkan kami ya Allah, atas sikap kami yang sangat kurang bersyukur.