Ada orang baru hendak
belajar cara memanjat dan menuruni pokok kelapa. Kita gunakan jentera dan terus
letakkan dia di pucuk pokok kelapa
setinggi 30 kaki. Memanglah dia hebat dipandang orang kerana kedudukannya yang
tinggi, tapi… bolehkah dia turun? Bolehkah dia memanjat? Hampir-hampir pasti
tidak boleh, kerana dia tidak tahu cara memanjat atau menuruni pokok kelapa.
Orang kedua kita letakkan
di tengah-tengah batang pokok kelapa. Memanglah hebat dipandang orang. Bolehkah
dia naik ataupun turun? Hampir-hampir pasti tidak boleh kerana dia tidak tahu
pun cara memanjat atau menuruni pokok kelapa. Terpaksa kita panggil bomba untuk
menyelamatkannya.
Orang ketiga kita letakkan
di perdu pokok kelapa. Dari situ dia belajar memanjat dan menuruni pokok kelapa
sedikit demi sedikit. Bolehkah dia panjat dan turun? Insya-Allah boleh, kerana
dia belajar dari bawah cara-cara untuk panjat dan turun.
Pengajarannya, apabila
kita baru-baru hendak mendalami ilmu-ilmu agama, jangan terlalu ghairah untuk
terus belajar bahagian yang tinggi-tinggi, yang rahsia-rahsia. Kelak diri
sendiri yang rosak binasa. Belajarlah beransur-ansur, mengikut sukatan
pelajarannya dan mengikut keupayaan diri kita, dan mengikut panduan orang-orang
lama. Guru-guru juga janganlah terlalu ghairah hendak meletakkan anak-anak
murid mereka di maqam yang tinggi-tinggi. Kaji terlebih dahulu keupayaan si murid.
Wallahua’lam.
No comments:
Post a Comment