Mata kita kecil, tapi
boleh melihat benda yang besar, yang tidak sepadan dengan saiz dirinya. Gunung,
langit, lautan…
Mata kita hitam dan putih,
tapi boleh melihat dan mentafsir ribuan jenis warna. Merah, biru, kuning,
campuran antara ketiga-tiganya…
Mata kita tiada perasaan,
tapi boleh membawa pelbagai perasaan ke dalam diri kita melalui apa yang ia
lihat. Kagum, seronok, sedih, terkejut, marah, malu, risau…
Selain itu, ada lagi
keistimewaan-keistimewaan mata yang jarang-jarang kita fikirkan.
Mata kita bersifat
penyayang. Apabila ia tahu yang diri tuannya sudah letih, ia memberikan isyarat
supaya tuannya berehat melalui rasa mengantuk. Ia mahu tuannya kembali segar
dan bertenaga.
Mata kita bersifat
penyelamat. Ia pengesan utama (dan biasanya yang pertama) kepada bahaya-bahaya
yang jauh, agar tuannya mengambil langkah yang sewajarnya sesegera mungkin. Api
di kaki langit, ribut di hujung lautan, hentaman dari angkasa… yang telinga,
kulit, lidah dan hidung tidak sampai ke sana kerana jauhnya.
Baru satu nikmat kita
fikir dan kita syukuri, iaitu nikmat mata, sudah sedemikian hebat terasa.
Benarlah, sudah banyak
jasa mata kepada kita.
Apa pula balasan kita
kepada mata?
Mata mahukan makanan, mata
mahukan hiburan, dan mata juga perlukan servis pembersihan. Adakah kita
menyediakan dan memberikannya?
Antara makanan mata ialah
ayat-ayat Al-Quran, wajah orang-orang soleh, tempat sujud, berjaga pada jalan
Allah…
Antara hiburan mata ialah
langit, gunung-ganang, tumbuh-tumbuhan, sungai, tasik, sungai, haiwan-haiwan…
Antara servis yang
diperlukan mata ialah menangis kerana Allah, memandang yang hijau-hijau, air
mengalir, bercelak…
Benarlah, sudah banyak
jasa mata kepada kita.
Sudahkah kita membalas
jasanya?
Lebih benar lagi, sudah
banyak jasa Tuan Punya Mata itu kepada kita.
Apa balasan kita
kepada-Nya?
Mari kita tambah masa
penggunaan mata kita untuk kerja-kerja pada jalan Allah.
No comments:
Post a Comment