Friday, December 23, 2011

Tazkirah Facebook 11 (Khamis 22.12.11)

Penglihatan dan pendengaran tak ubah seperti dua buah sungai yang mengalir setiap hari ke kolam hati. Apa yang kita lihat, dan apa yang kita dengar saban hari... akan memenuhi kolam hati kita. Untuk mengetahui apa isi kolam hati kita, kajilah apa isi sungai mata dan sungai telinga yang mengalir masuk setiap hari.

Jika yang mengalir dalam kedua-dua sungai itu kotoran dan racun, maka kolamnya juga akan berisi kotoran dan racun. Jika kedua-dua sungai mengalirkan air mutlak dan penawar, penuhlah kolamnya dengan air mutlak dan penawar.

Kita sebagai orang yang diamanahkan menjaga kedua-dua buah sungai itu, dapat mengawal aliran kedua-duanya.

Terpulang kepada kita untuk mengisi kolam hati kita dengan mengalirkan kotoran dan racun, ataupun air mutlak dan penawar.

Yang pasti, apa pun yang kita alirmasukkan, akan diminta pertanggungjawabannya kelak.

Tazkirah untuk diri sendiri terutamanya. WaAllahua’lam. Jumpa lagi esok, insyaAllah.

Tazkirah Facebook 10 (21.12.11)

Apa yang kita cintai? Apa yang PALING kita cintai? Antara tanda cinta itu adalah SELALU TERFIKIR-FIKIR dan selalu TERSEBUT-SEBUT dalam keadaan SUKA. Perkara yang kita suka dan selalu berada di fikiran kita dan selalu bermain di bibir kita, itulah yang kita cintai. Sedar atau tidak, begitulah hakikatnya.

Seseorang yang mencintai seseorang yang lain, tentunya SUKA untuk selalu teringat dan selalu menyebut-nyebutnya.

Renungkan kembali... muhasabah diri... dalam sehari-hari, apakah yang banyak kita ingat dan banyak kita sebutkan tentangnya (dalam keadaan suka)? Apakah yang paling banyak kita ingat dan paling banyak kita lafaz-lafazkan, bual-bualkan (dalam keadaan suka)?

Allah? Rasul-Nya? Agama? Dakwah?

Atau kerjaya? Hobi? Rumah? Kenderaan? Keluarga? Wang? Hiburan? Gossip? Isu semasa? Pelajaran? Sukan? Pasangan?

Yang PALING BANYAK kita suka fikir-fikirkan, lafaz-lafazkan dan sembang-sembangkan... itulah yang PALING KITA CINTAI. Jadi, selama hari ini dalam sehari-hari, mana yang paling banyak, yang PALING kita cintai?

Pesan Nabi : “Tidak beriman seorang dari kamu sebelum Allah dan Rasul-Nya LEBIH DICINTAINYA daripada yang lain-lain.” (Bukhari & Muslim)

Pesan baginda lagi : “Tidak beriman seorang hamba sebelum aku (Rasulullah) LEBIH DICINTAI daripada isterinya, hartanya dan sekelian manusia.”(Bukhari & Muslim)

Mari membetulkan YANG PALING KITA CINTAI.

Tazkirah Facebook 9 (Selasa 20.12.11)

Dalam bidang apa pun, jika kita hendak menjadi antara yang terpilih, kita mestilah mengorbankan banyak masa kita untuknya. Tidak sanggup mengorbankan masa kita? Pendek kata, tak ada harapanlah untuk menjadi antara yang terpilih.

Tanyalah mana-mana ahli sukan, untuk menjadikan diri mereka antara yang terpilih ke peringkat negeri, kebangsaan atau antarabangsa, berapa banyak masa yang sudah mereka korbankan untuk sukan yang mereka ceburi itu?

Bolehkah terus-terus sahaja dipilih sebagai wakil negeri dan negara tanpa mereka mengorbankan banyak masa sebelum itu? Tentunya tidak boleh.

Berapa jam sehari mereka peruntukkan untuk sukan yang mereka ceburi itu? Contohnya sukan badminton, bolasepak, bina badan, tinju, lumba basikal dan lain-lain.

10 minit sehari? Setengah jam sehari? 6 jam sehari?

Sudah berapa lama mereka berbuat begitu sebelum berjaya ke peringkat negari, negara dan antarabangsa? Sebulan? Setahun? Lima tahun?

Mana mungkin bercita-cita untuk bermain sebagai wakil negeri dan negara tanpa mengorbankan banyak masa sebelum itu. Angan-angan kosong namanya.

Begitulah juga cita-cita kita untuk ke syurga. Berapa banyak masa dalam sehari, seminggu, sebulan dan lain-lain yang sudah kita korbankan untuk layak ke syurga?

Cukupkah dengan 10 minit sehari? 1 jam sehari?

Untuk menjadi antara yang terpilih ke syurga, kita mestilah sanggup mengorbankan banyak masa juga untuknya.

Jika tidak, kita seumpama seorang yang berlatih bermain bolasepak sejam sehari, tetapi berangan-angan untuk terpilih bermain di peringkat antarabangsa.

Wednesday, December 21, 2011

Tazkirah Facebook 8 (Isnin 18.12.11)

Jangan meletakkan kebenaran itu pada masyhurnya nama, tingginya pangkat, besarnya jawatan, banyaknya gaji, ramainya pengikut, banyaknya tulisan, pelbagainya protfolio, berlambaknya kelulusan, panjangnya janggut, besarnya serban, berjelanya sanad, banyaknya hafazan, sedapnya suara mengalun Quran, banyaknya pujian orang, selalunya masuk radio tv, padatnya jadual kuliah, banyaknya mengIslam dan mengislah orang, ada PHD, orang universiti, ber'title' mulia dan seumpamanya.


Kebenaran tetap kebenaran sekalipun seseorang itu langsung tiada nama, pangkat rendah, berjawatan kecil, bergaji sedikit, tiada pengikut, tiada tulisan, tiada sebarang portfolio, sedikitnya kelulusan, nipisnya janggut, tidak berserban, tidak bersanad, sedikit hafazan, suara tak sedap, dihina orang, tak pernah masuk media, tidak mengajar agama, kelulusan Darjah 6 dan sebagainya.

Sunday, December 18, 2011

Tazkirah Facebook 7 (Ahad 18.12.11)

TAZKIRAH FB AHAD – Dulu kita di medan roh. Kemudian di medan kandungan. Sekarang di medan dunia. Selepas ini kita akan melalui beberapa medan lagi... yang tempoh masanya tidaklah kita ketahui.


Apa persiapan kita untuk ke medan sakaratul maut?

Apa persiapan kita untuk ke medan alam kubur?

Apa persiapan kita untuk ke medan mahsyar?

Apa persiapan kita untuk ke medan timbangan amal?

Apa persiapan kita untuk ke medan titian?

Berapa lama untuk setiap satu medan? WaAllahua’lam.


Berapa banyak persiapan yang sudah kita buat untuk pergi ke medan-medan itu?

Ataupun kita tak habis-habis sibuk memenuhkan keperluan kita di medan dunia ini sahaja?


Buatlah persiapan, siapkanlah perbekalan. Kalau kita sendiri tidak menyiapkan perbekalan kita,siapa lagi yang kita hendak harap menyiapkannya? Kawan-kawan? Jiran? Majikan?


Apa persiapan yang sudah dibuat, yang hendak dibawa itu nanti? Gaji? Wang simpanan di bank? Pangkat sekarang? Jawatan akan datang? Rumah kita dan hiasan luar dalamnya? Pakaian kita yang cantik-cantik di dalam almari? Tugas-tugas kita yang cemerlang di tempat kerja? Kenderaan kita yang selesa itu?


Bolehkah dibawa itu semua ke medan-medan yang disebutkan tadi?

Jadi... adakah kita sudah menyiapkan bekalan kita ke sana? Sudah sebanyak mana?

Kepada yang belum membuat persiapan, mulakanlah sekarang.


InsyaAllah jumpa lagi esok... saling ingat-mengingati.

Tazkirah Facebook 6 (Sabtu 17.12.11)

Umumnya manusia jenis yang pelupa, termasuklah saya. Suatu hari saya mencari-cari cermin mata saya di dalam bilik tidur. Puas saya cari tapi tidak terjumpa juga. Akhirnya saya berhenti rehat dengan duduk di tepi katil.

Saya mendongak memandang ke cermin almari di hadapan saya, saya tertawa seorang diri. Kenapa ya?

Rupa-rupanya cermin mata itu sudah sedia saya pakai, dan saya sedang memandang melaluinya sekarang.

Bagaimanalah saya saya boleh terlupa sehingga tidak dapat membezakan antara penglihatan kabur dengan penglihatan cerah...?

Itu satu contoh betapa pelupanya manusia.

Atas dasar itulah maka manusia perlu sering memperingat dan diperingat, lebih-lebih lagi dalam hal ehwal yang bersangkutan dengan hidupnya yang selama-lamanya... yang bakal didudukinya di akhirat nanti.

Di sinilah berperanannya tazkirah, sebagaimana yang sedang anda baca sekarang.

Jumpa lagi esok, insyaAllah.

Tazkirah Facebook 5 (Jumaat 16.12.11)

Cacing berada di dalam LAUTAN tanah, tetapi ia tidak menyedarinya. Ikan berada dalam LAUTAN air, tetapi ia tidak menyedarinya. Manusia berada dalam LAUTAN udara, tetapi kita juga tidak menyedarinya. Hanya setelah orang memberi tahu yang kita sedang berada dalam lautan udara, barulah kita menyedarinya, kerana selama ini yang kita tahu hanyalah lautan air, iaitu yang dinamakan laut.

Kita juga sebenarnya sedang berada dalam LAUTAN ruang langit iaitu angkasa lepas, kerana bumi itu sendiri dan ruang di sekelilingnya berada di tengah-tengah lautan angkasa lepas. Kita tidak pernah menyedarinya, kecuali setelah diberitahu oleh seseorang. Langit dan isinya pula berada dalam LAUTAN rahmat dan kasih sayang Allah.

Jadi, LAUTAN itu ada banyak, bukanlah lautan air sahaja. Kita menyedari semua ini setelah minda kita dibuka oleh seseorang. Maksudnya, kita memerlukan guru. Lebih-lebih lagi dalam bidang agama, bidang kerohanian.

Dengan bantuan guru-guru, ruang pemahaman dalam diri kita akan lebih mudah terbuka. Dari itu, carilah guru-guru. Berguru biar banyak, jangan bergantung penuh hanya kepada seorang guru, walaupun kita mungkin akan menghabiskan lebih banyak masa dengan seseorang guru itu. Setiap guru ada kekurangannya kecuali Rasulullah saw. Dengan mengambil ilmu daripada beberapa orang guru, barulah kelemahan seseorang guru itu dapat ditampung oleh guru-guru yang lain.

Selamat mencari guru. Selamat mencari pembimbing. Selamat mencari mursyid. Cuma yang mesti kita ingat selalu... bahawa PADA HAKIKATNYA... ilmu datang daripada Allah, bukan daripada guru. Guru hanyalah tempat laluan.

Friday, December 16, 2011

Tazkirah Facebook 4 (Khamis 15.12.11)

Ada satu tanggungjawab yang sangat ramai orang lupakan, iaitu menjaga kehormatan darah yang sedang kita bawa pada setiap hari. Darah siapakah yang kita bawa? Ke manakah kita membawanya setiap hari, dan selama ini?

Darah yang kita bawa ini ialah darah yang mulia. Semua orang membawa darah yang mulia, kecualilah dia anak buluh betung, junjung buih, muntah lembu atau sebagainya.

Ada orang membawa darah mulia Nabi Muhammad dalam tubuhnya, iaitu para keturunan baginda. Orang lain? Tetap membawa darah-darah yang mulia. Mungkin darah Nabi Ibrahim. Boleh jadi darah Nabi Nuh. Sekurang-kurangnya pun... darah Nabi Adam. Maksudnya, semua kita membawa darah-darah yang mulia. Semua kita berketurunan orang-orang mulia.

Amanah memelihara kehormatan darah suci yang kita kandung ini bukan main-main tanggungjawab. Kesuciannya dijaga dengan mengamalkan Ilmu Penahan Api Neraka... iaitu berusaha mengerjakan segala yang Tuhan suruh, sekalipun yang kecil-kecil... dan berusaha meninggalkan segala yang Tuhan larang, sekalipun yang kecil-kecil.

Oleh itu, peliharalah kehormatan darah yang sedang kita kandung ini. Sekadar peringatan... khususnya untuk diri sendiri...