Sunday, September 2, 2012

Tazkirah Facebook 25 (September 2, 2012)

Nak cari idola? Nak cari idola terbaik?
Sudah tentulah Rasulullah saw dan para sahabat, lelaki dan wanita.
Hal itu semua orang tahu.

Nak cari idola terbaik yang boleh kita perolehi kini?

Carilah yang apabila kita terlihat atau teringat sahaja akan dia, kita terus teringat akan agama.
Carilah yang apabila kita melihat perlakuannya, kita berasa sejuk di hati.
Carilah yang apabila kita melihat keadaannya, kita teringat akan Rasulullah, para sahabat dan insan-insan soleh.
Carilah yang apabila kita mendengar kata-katanya atau berbual dengannya, pengetahuan kita tentang Allah dan agama bertambah.
Carilah yang apabila kita berada dekat dengannya, kita berasa terdorong untuk melakukan perkara-perkara yang baik di sisi agama, dan berasa tidak selesa untuk melakukan perkara-perkara yang tidak baik.

Begitu jugalah sekiranya kita ingin mendapatkan sahabat atau sahabat-sahabat yang terbaik. Idola atau sahabat kita yang baik memang ramai, tapi yang mana yang terbaik antara mereka?

Terbaik yang dimaksudkan di sini bukannya yang terbaik menurut perasaan kita, tapi yang terbaik menurut pandangan Allah SWT.

Sudah ada? Belum ada?
Kena diadakan le.

Abu Zulfiqar
2 SEPTEMBER 2012

Tazkirah Facebook 24 (Ogos 10, 2012)


Ramai orang malas menanam, tapi dia mahu memetik.
Ramai orang malas menanam, tapi dia mahu menuai.
Ramai orang tidak menanam, tapi apabila dilihatnya orang lain beramai-ramai memetik dan menuai hasil tanaman, dia sendiri sangat suka memetik dan menuai.
Padahal dia tidak punya sebarang tanaman, bagaimana mahu dituai?
Ada ditanamnya sedikit-sedikit, tapi tidak dijaganya. Apabila tiba masa menuai, tanamannya tentulah kurang menjadi.

Apabila dia tidak dapat memetik dan menuai sebagaimana orang lain, dia mula marahkan tanah, mengeluh pada cuaca.
Apabila hasil tanamannya tidak berapa menjadi, dia mula mengutuk hasil tanaman.

Sepatutnya dia berfikiran matang dan rasional.
Sepatutnya dia mesti redha hasil tanamannya tidak ada atau kurang menjadi, kerana hal itu semua salahnya sendiri.

Sesiapa yang tidak menanam dan menjaga tanamannya, tentu saja dia tidak dapat menuai hasilnya, sebagaimana orang lain menuai hasil mereka.

Apa yang kita tanam dulu, dapatlah kita tuai hasilnya sekarang, atau pada masa akan datang.
Yang paling penting, tanamlah ‘pohonan syurga’ sekarang, untuk dipetik hasilnya di akhirat sana nanti.

Abu Zulfiqar
10 OGOS 2012