Andaikan kita sedang dalam
perjalanan berpindah ke sebuah negeri yang sangat jauh. Perjalanannya memakan
masa 60 tahun. Wang dan gaji yang ada pada kita memang sudah cukup untuk
memulakan kehidupan baru di negeri itu, tidak perlu untuk ditambah lagi.
Di sepanjang perjalanan
sesekali kita terjumpa pokok liar di tepi-tepi jalan (yang mudha untuk kita
menggapainya) yang membuahkan 1 sen, 5 sen atau 10 sen. Pada sebatang pokok
adalah satu syiling. Memang tidak akan kaya dan tidak banyak menambah wang
sedia ada kita kalau kita memetiknya pun. Lagi pun wang sedia ada kita sudah
mencukupi, gaji pun naik setiap tahun. Hendak memetiknya pula terpaksa memijak
rumput-rumput di tepi jalan. Biarlah.
Ada seorang sahabat kita
yang bersama-sama kita dalam perjalanan itu. Wangnya juga sudah mencukupi, tapi
dia begitu rajin memetik syiling-syiling itu. Kita tersenyum sahaja melihat
telatahnya yang sesekali nampak bersungguh memetik syiling yang dilihatnya.
Kita memandang perbuatannya itu bagus, tapi kita sendiri tidak berminat pun
untuk melakukannya. Biarlah. Setakat RM 3 sehari, apalah sangat. Gaji harian
kita dan dia pun RM 150 sehari, setiap tahun sama-sama naik gaji, hendak apa
lagi kan? Buat apa susah-susah hendak menambah RM 3 sehari?
Dalam pada itu, ada juga
orang-orang lain dalam rombongan kita itu yang memandang sinis akan perlakuan
sahabat kita itu. Malah ada yang kata sia-sia. Macamlah tak cukup duit. Kalau
tak petik pun, tetap sampai juga ke negeri baru. Buang masa dan tenaga. Orang
tak pandanglah RM 3 sehari itu. Kata mereka.
Akhirnya kita pun sampailah
ke negeri yang kita tuju. Seronoknya kita di negeri yang baru itu. Kita pun
membeli sebuah rumah berharga RM 200,000 tunai. Sahabat kita tadi? Dia membeli
rumah berharga RM 250,000 tunai. Kita berasa hairan, bagaimana dia yang
mempunyai pendapatan dan bekalan yang sama dengan kita, tiba-tiba boleh membeli
rumah yang lebih baik daripada kita?
Rupa-rupanya, dengan RM 3
sehari jumlah syiling-syiling yang dipetiknya di sepanjang perjalanan yang
memakan masa 60 tahun itu, sahabat kita itu berjaya mengumpulkan lebih kurang
RM 50,000. Ketika itu barulah ahli-ahli rombongan ‘memandang’ perlakuan sahabat
kita itu. Fuh! Barulah kita menyesal, “Alangkah baiknya jika aku juga bertindak
bijak seperti sahabatku itu…..”
Apa yang cuba disampaikan
di sini?
Negeri baru = akhirat
Perjalanan 60 tahun = umur
kita di dunia
Syiling-syiling yang
dipandang tidak bernilai sangat = sunnah-sunnah Rasulullah yang mudah-mudah,
tidak membebankan kita jika kita mengamalkannya pun seperti berjanggut,
berkopiah, berserban, bercelak, berjubah, cara tidur, cara membuang air,
menyebarkan salam, memakai pakaian putih dan sebagainya. Semuanya boleh kita
lakukan sambil-sambil sahaja. Ada yang boleh dilakukan sesekali, ada yang boleh
dilakukan berterusan.
Rumah di negeri baru =
syurga.
Pengajarannya, janganlah
dipersia-siakan sesuatu yang dipandang kecil, apatah lagi jika ia mudah untuk
dilakukan.
(*Itu pun kalau betul sunnah-sunnah itu nilainya 1 sen, 5 sen atau 10 sen
di sisi Allah. Bagaimana jika Allah memandang nilainya RM 10, RM 20, RM 50…….
lebih lagi…..?)
No comments:
Post a Comment