Friday, September 6, 2013

Tazkirah Facebook 65 (Julai 27, 2013)

Mencari Pak Awang tanpa mengenali Pak Awang,
memungkinkan kita tersalah orang.

Memburu badak tanpa kita mengenal badak,
memungkinkan kita tersalah tembak.

Mengumpul cendawan tanpa kita mengenal cendawan,
memungkinkan kita tersalah makan.

Menyembah Allah tanpa mengenal Allah,
memungkinkan kita tersalah sembah.

Sudahkah kita mengenal Allah?
Ataupun selama ini
kita hanya sekadar tahu bahawa Tuhan kita ialah Allah?

Benarkah selama ini kita berabdi dan menyembah Allah?
Ataupun tanpa kita sedari
sebenarnya kita tersembah makhluk Allah
yang kita sangka sebagai Allah?
Ataupun selama ini
kita tersembah makhluk yang 'bercampur' dengan Allah?
(Maksudnya menyekutukan Allah)

Berawas wahai teman!
Hendak menyembah raja tetapi tersembah selain baginda,
boleh bercerai badan dengan kepala.
Hendak menyembah Allah tetapi tersembah selain-Nya.
segala amal menjadi debu belaka.

Jangan sengaja kita persiakan
segala amal amal fardhu dan amal sunat
segala usaha dakwah dan segala jihad
segala hafazan dan segala aurad
segala tulisan dan segala kalimat
hanya kerana...
kita tidak mengenal Tuhan.

Walau semasyhur mana guru,
walau sebesar mana jemaah,
walau sebanyak mana sanad,
walau selama mana bersama-sama mereka,
tapi tidak ditarbiyyah untuk mengenal Allah
yang menyebabkan sampai sekarang kita belum mengenal Allah...
... silalah bermuhasabah.

Di mana diri kita hari ini?
Ke mana diri kita dibawa selama ini?
Ke mana kita membawa diri kita sendiri selama ini?
Adakah esok masih mahu kekal seperti hari ini?

Tersalah menyembah raja,
tinggal badan putus kepala.
Tersalah menyembah Raja Segala Raja,
terhapus amal lenyap pahala.

Sudah faham kenalah usaha.
Tidak sekadar mengangguk sahaja.
Sudah diperingat, dan masih ada masa.
Jangan tunggu Malaikat Maut tiba.

Doa sebelum usaha
doa semasa usaha
doa selepas usaha
Tiga peringkat doa diamalkan sentiasa.

Ya Allah,
anugerahkanlah kami kenikmatan mengenal-Mu
dan kenikmatan berabdi kepada-Mu.
Amin ya Allah.

Al-Faqir Abu Zulfiqar
27 Julai 2013

(*Kepada para pengikut kuliah kitab Ihya' 'Ulumuddin, teruskan pengajian anda, istiqamah dari mula, insya-Allah apa yang kita hajat ada di sana)

No comments:

Post a Comment