Monday, September 23, 2013

Tazkirah Facebook 73 (September 21, 2013)

Tauhid – berguna untuk mengesahkan diri sebagai calon peperiksaan.
Tanpa tauhid, walau sehebat mana diri mampu menjawab soalan-soalan peperiksaan,
diri tidak akan diiktiraf,
tidak akan dikeluarkan apa-apa sijil kepada diri.

Fiqh – gunanya untuk lulus peperiksaan.
Tanpa fiqh, memang boleh masuk dewan peperiksaan,
tapi tidak mampu menjawab apa-apa.
Dengan fiqh, insya-Allah akan lulus,
tapi tidak boleh mendapat keputusan yang cemerlang,
sekadar lulus sahaja.

Tasawuf – gunanya untuk mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan.
Tanpa tasawuf, keputusan yang keluar nanti mungkin sekadar lulus sahajalah
tak dapatlah gred A atau B.

Tauhid, fiqh dan tasawuf.

Keseimbangan ketiga-tiganya  hendaklah diusahakan.

Tazkirah Facebook 72 (September 20, 2013)

Hidup sudah lama
tapi masih belum dapat cahaya (an-nur).

Usia makin tua
tapi masih tercari-cari cahaya.

Lebih malang lagi…
ajal makin tiba
tapi tak tahu pun tentang cahaya

Macam mana hendak (mudah) mendapat cahaya
jika tidak pernah membaca  Surah Cahaya (Surah An-Nur),
tidak diketahui maksudnya,
tidak diusaha cari rahsianya…
dan tidak diamalkan…

Patutlah sampai ke hari ini masih kelam.
Patutlah sampai ke hari ini masih gelita.

Jangan tunggu lama-lama
nanti nyawa diambil oleh pencabut nyawa.
Ketika itu menyesal tiada lagi guna.

Cahaya segala cahaya.
Cahaya sebenar cahaya.


(Pengajian kitab Ihya’ ‘Ulumuddin kita sudah masuk ke bab yang membuatkan kita terpaksa membuka kitab Misykatul Anwar. Dalam kitab Misykatul Anwar ini Imam Al-Ghazali menghuraikan hanya sedikit daripada Surah An-Nur sehingga menjadi sebuah kitab, tetapi indah dan lazatnya tidak terkira. Nantikan kupasan Misyaktul Anwar dalam fail-fail video Syarah Ihya’ yang kita upload. Selamat berusaha menemui “Cahaya langit dan bumi”).

Tuesday, September 17, 2013

Tazkirah Facebook 71 (September 17, 2013)

Masalah berlaku apabila ada pihak atau pihak-pihak yang tidak mahu mengikut aturan agama. Begitulah umumnya.

Periksalah mana-mana masalah yang timbul, tentu kita akan mendapati puncanya tidak lain kerana ada pihak atau pihak-pihak yang tidak mahu mematuhi aturan agama.

Pertelingkahan, pergaduhan, perseteruan, peperangan, penindasan.......
berlaku kerana ada pihak atau pihak-pihak yang tidak bersetuju untuk mengikut kehendak agama.
Mereka memilih untuk mengikut kehendak selain kehendak agama.

Apa pun yang berlaku, kita pastikan diri kita termasuk dalam kalangan orang-orang yang mematuhi kehendak agama. 

Kemudian/ disamping itu...
kita usaha pula agar orang-orang yang hampir dengan kita (terutamanya keluarga kita) agar mereka juga mematuhi kehendak agama.

Jika kita berperanan, insya-Allah lama-kelamaan semakin ramai orang yang mematuhi kehendak-kehendak agama.
Maka, akan berkuranganlah masalah-masalah di seluruh dunia.

Monday, September 9, 2013

Tazkirah Facebook 70 (September 7, 2013)

Masa depan ada banyak jenis.

Sekejap lagi pun… masa depan.
Esok pun… masa depan.
Minggu depan pun… masa depan.
Bulan depan… masa depan.
Tahun depan… masa depan.
10 tahun lagi… masa depan.
100 tahun lagi…
Hari tua…
Sakaratul maut…
Alam kubur…
Alam akhirat… masa depan juga.
Syurga atau neraka… semuanya masa depan.
Dan yang terakhir inilah yang sebenar-benar masa depan.

Apa yang sudah, sedang dan akan kita sediakan untuk masa depan?
Masa depan yang mana yang kita buat persediaan sedemikian hebat tu?
Masa depan yang mana yang kita lebih-lebihkan?
Dan untuk masa depan yang mana yang kita belum buat persediaan?

Cukup makankah bekalan-bekalan yang kita sediakan untuk masa depan itu?

Friday, September 6, 2013

Tazkirah Facebook 69 (September 6, 2013)

Ada kala sesuatu kekeruhan itu tidak memerlukan tindakan penjernihan, cuma perlu dibiarkan, dan kejernihan akan wujud dengan sendirinya.

Lopak air tidak perlu dijernihkan. Kita biarkan ia tenang sendiri. Jernihlah ia.

Kadang-kadang tindakan kita untuk menjernihkan air yang keruh, membuatkan kerosakan yang lebih teruk daripada kekeruhan.


Ada kekeruhan yang memerlukan tindakan penjernihan, dan ada kekeruhan yang perlu dibiarkan jernih sendiri.

Tazkirah Facebook 68 (September 4, 2013)

Apabila terkena sesuatu musibah, antara yang perlu kita fikirkan ialah :
1. tindakan semerta (serta-merta).
2. tindakan untuk tempoh terdekat ( 1-2 jam, 1-2 hari, 1-2 minggu....).
3. tindakan untuk tempoh yang dekat (1-2 bulan, 2-3 bulan....)
4. tindakan untuk tempoh yang agak panjang sikit ( setengah tahun- 1 tahun...)
5. tindakan untuk jangka masa panjang (beberapa tahun...)
6. tindakan untuk jangka masa yang lebih panjang ( puluh tahun...)
7. tindakan untuk jangka masa yang sangat panjang (akhir hayat... alam akhirat)

Rata-rata orang akan fikir yang nombor 1 dan nombor 2.
Kurang yang mahu berfikir sehingga nombor 3 dan nombor 4.
Jarang-jarang yang mahu berfikir sehingga nombor 5 dan nombor 6.
Apatah lagi sehingga nombor 7.

Begitu jugalah untuk merancang sesuatu.

Tazkirah Facebook 67 (Ogos 25, 2013)

Ada makanan yang sedap dan baik 
yang datang dari kuali murah, sudip patah separuh, ruang dapur kecil, dapur minyak tanah 
dan tukang masak yang tidak bagus rupanya.

Ada pula makanan yang tidak sedap dan tidak baik 
tapi datang dari kuali berjenama, sudip baru, ruang dapur mewah, dapur mahal 
dan tukang masak yang bagus rupanya.

Tazkirah Facebook 66 (Ogos 6, 2013)

SITUASI 1

@ Awang, engkau rajin baca Quran tak?
# Boleh le…

@ Setiap hari?
# Sehari 1 juz. Sebulan sekali khatam.

@ Alhamdulillah, syukur. Syabas Awang!
# Dah biasa. Kalau bulan Ramadhan, 2 kali khatam. Orang tua aku 3 kali khatam.

@ Bagus tu! Bukan senang nak dapat. Err… maksud ayat-ayat Al-Quran, ada baca tak?
# Eh, takde le pulak! Aku baca yang Arabnya je le.

@ Ooo… rugi banyak tu, baca saja tapi tak tahu makna, tak tahu cerita!
# Ye tak ye, aku ni hebat tentang membunyi, membaca dan melagukan je, tapi tak kisah pun tentang isi cerita Al-Quran. Macam burung kakaktua le pulak rasanya. Hmmm…

@ Itu le… kalimah-kalimah Arab tu memang sangat penting, tapi isi kandungan dia lebih penting.
# Kalau macam tu, aku bercadang nak baca setengah juz sehari, dan lepas tu baca terjemahannya setengah juz juga. Ok tak?

@ Cantik! Ikut kemampuan masing-masinglah, asalkan tahu serba-sedikit apa isi cerita yang Tuhan nak sampaikan kepada kita. Tuhan bukan nak kita sekadar membunyikan kalimah, membaca dan melagukannya, tapi untuk mengambil tahu dan mengamalkan isinya. Lainlah kalau kita ni memang mahir bahasa Arab Al-Quran (bukan bahasa Arab biasa), tak perlulah baca terjemahan atau tafsirannya.
# Memang cantik kalau budaya membaca Al-Quran masyarakat kita ni ditajdidkan. Lepas habis baca, baca terjemahannya. Kalau dapat baca tafsir laaagi cantik molek.

SITUASI 2 (Malam raya Aidl Fitri)

@ Alhamdulillah… dalam bulan posa ni aku dapat la habih 5 kali Quran.
# Alhamdulillah! Memang baguih sangat, tak ramai orang yang Tuhan pilih untuk habih ulang habih ulang Quran dalam bulan posa ni. Emm… terjemahan dia berapa kali habih ulang?

@ Errr… tak dak la pulak aku baca terjemahan ka… tafsir ka…
# Jadi… sepanjang bulan posa ni, apa cerita yang hang dapat daripada pembacaan Quran hang tu?

@ Err… tak tau cerita apa la, cuma baca yang Arab dia la.
# Untung memang untung dah, tapi…. tak rasa rugi ka baca Quran 5 kali khatam dalam keadaan tak dapat apa-apa mesej daripada Allah kat dalam tu? Baca paper (akhbar) orang putih ulang 5 kali tapi tak tau apa cerita. Tak dak rasa rugi apa-apa ka?

@ Uih, memang ada bahagian yang rugi la! Awat la aku tak terpikiaq nak baca terjemahan dia lepaih aku baca hat yang Arab tu?
# Kesimpulan dia, budaya kebanyakan orang kita dok berlumba baca Quran sapa dapat baca banyak kena ubah la. Lumba baca kalimah Arab, lumba jugak baca terjemahan dia.

TINDAKAN KITA

Mulai hari ini (kepada sesiapa yang belum buat), kita baca Al-Quran dan baca juga terjemahannya. Ada lebih masa, kita baca pula tafsirannya.


Tazkirah Facebook 65 (Julai 27, 2013)

Mencari Pak Awang tanpa mengenali Pak Awang,
memungkinkan kita tersalah orang.

Memburu badak tanpa kita mengenal badak,
memungkinkan kita tersalah tembak.

Mengumpul cendawan tanpa kita mengenal cendawan,
memungkinkan kita tersalah makan.

Menyembah Allah tanpa mengenal Allah,
memungkinkan kita tersalah sembah.

Sudahkah kita mengenal Allah?
Ataupun selama ini
kita hanya sekadar tahu bahawa Tuhan kita ialah Allah?

Benarkah selama ini kita berabdi dan menyembah Allah?
Ataupun tanpa kita sedari
sebenarnya kita tersembah makhluk Allah
yang kita sangka sebagai Allah?
Ataupun selama ini
kita tersembah makhluk yang 'bercampur' dengan Allah?
(Maksudnya menyekutukan Allah)

Berawas wahai teman!
Hendak menyembah raja tetapi tersembah selain baginda,
boleh bercerai badan dengan kepala.
Hendak menyembah Allah tetapi tersembah selain-Nya.
segala amal menjadi debu belaka.

Jangan sengaja kita persiakan
segala amal amal fardhu dan amal sunat
segala usaha dakwah dan segala jihad
segala hafazan dan segala aurad
segala tulisan dan segala kalimat
hanya kerana...
kita tidak mengenal Tuhan.

Walau semasyhur mana guru,
walau sebesar mana jemaah,
walau sebanyak mana sanad,
walau selama mana bersama-sama mereka,
tapi tidak ditarbiyyah untuk mengenal Allah
yang menyebabkan sampai sekarang kita belum mengenal Allah...
... silalah bermuhasabah.

Di mana diri kita hari ini?
Ke mana diri kita dibawa selama ini?
Ke mana kita membawa diri kita sendiri selama ini?
Adakah esok masih mahu kekal seperti hari ini?

Tersalah menyembah raja,
tinggal badan putus kepala.
Tersalah menyembah Raja Segala Raja,
terhapus amal lenyap pahala.

Sudah faham kenalah usaha.
Tidak sekadar mengangguk sahaja.
Sudah diperingat, dan masih ada masa.
Jangan tunggu Malaikat Maut tiba.

Doa sebelum usaha
doa semasa usaha
doa selepas usaha
Tiga peringkat doa diamalkan sentiasa.

Ya Allah,
anugerahkanlah kami kenikmatan mengenal-Mu
dan kenikmatan berabdi kepada-Mu.
Amin ya Allah.

Al-Faqir Abu Zulfiqar
27 Julai 2013

(*Kepada para pengikut kuliah kitab Ihya' 'Ulumuddin, teruskan pengajian anda, istiqamah dari mula, insya-Allah apa yang kita hajat ada di sana)

Tazkirah Facebook 64 (Julai 25, 2013)

Encik Alif mengeluarkan RM 1,000 setiap bulan pada jalan Allah (banyak tu)... daripada RM 20,000 pendapatan bulanannya... (5%).

Hebatnya Encik Alif. Sekalong tahniah buat Encik Alif.

Encik Ba mengeluarkan RM 200 setiap bulan pada jalan Allah (alahai, ciputnya)... daripada RM 2,000 pendapatan bulanannya... (10%).

Hebat lagi Encik Ba. Dua kalong tahniah kepada Encik Ba.

Besar jumlah memang hebat, besar pengorbanan lebih hebat.


Tazkirah Facebook 63 (Julai 2, 2013)

Ada orang yang buka-buka sahaja internet, kerja-kerja agama terlebih dahulu, walaupun sekejap, barulah urusan-urusan lain.

Ada orang yang buka-buka sahaja internet, urusan-urusan lain terlebih dahulu, tapi kerja-kerja untuk agama tidak ditinggalkannya, cuba diseimbangkannya.

Ada orang yang buka-buka sahaja internet, urusan-urusan lain terlebih dahulu, barulah kerja-kerja agama, sambil-sambil, jika ada lebihan masa.

Ada orang yang buka-buka sahaja internet, untuk urusan-urusan lain sahaja. Urusan yang khusus untuk agama, tidak termasuk.



Tazkirah Facebook 62 (Jun 23,2013)

Jerebu di luar, kita seorang... tiada daya.
Tapi jerebu dalam jiwa/hati, kita boleh jernihkan melalui jalan tasawuf.
Sibuk dengan jerebu di luar tu, sibuklah juga,
Tapi kena lebih sibuk dengan jerebu dalam diri.
Aku... lebih sibuk dengan jerebu yang mana?

Apabila jerebu dalam diri semakin kurang,
pandangan mata hati semakin jelas,
hati/jiwa akan semakin tenang,
hidup semakin bahagia.

Jerebu jiwa/hati apabila ia pergi
perginya membawa fikiran kita yang buruk,
kata-kata kita yang buruk,
dan perbuatan kita yang buruk.
Dan tinggallah hanya yang baik-baik sahaja.

Mari kita jernihkan alam sekeliling hati/jiwa kita.
Kita pohonkan agar Allah kurniakan cuaca yang baik,
agar mata hati/jiwa kita sedap bernafas, sedang memandang, sedap merasa.


Tazkirah Facebook 61 (10 Jun 2013).

Sudah berapa lama kita tidak berada dalam majlis-majlis ilmu agama? Bila kali terakhir kita duduk dalam majlis agama?
3 hari yang lalu?
1 minggu yang lalu?
10 hari yang lalu?
2 minggu yang lalu?
1 bulan yang lalu?
40 hari yang lalu?

Patutlah hati kita gelap. Pautlah hati kita sukar menerima agama.

3 bulan yang lalu?
1/2 tahun yang lalu?
Tahun lepas?
Beberapa tahun yang lalu?
Lagilah........

Ya Allah, pilihlah kami untuk menajdi peserta majlis-majlis ilmu agama sekurang-kurangnya 2 kali seminggu.

Tazkirah Facebook 60 (Mei 15, 2013)

Kita guru kategori yang mana?

Ada guru yang bertungkus-lumus mahu menjayakan murid-muridnya dalam kehidupan di dunia (yang sementara, yang mungkin untuk hidup selesa selama 70-80 tahun).
Ada guru yang bertungkus-lumus mahu menjayakan murid-muridnya dalam kehidupan di akhirat (yang selama-lamanya itu).
Ada guru yang bertungkus-lumus mahu menjayakan murid-muridnya dalam kehidupan di dunia dan dalam kehidupan di akhirat. Tarbiyyahnya SEIMBANG.

Kita guru kategori yang mana?

Umumnya semua orang adalah guru kepada orang-orang di bawahnya.
Ibu bapa guru kepada anak-anak.
Pemimpin guru kepada rakyat.
Abang kakak guru kepada adik-adik.
Majikan guru kepada pekerja.
Orang tua-tua guru kepada orang muda-muda.
Dan sebagainya.

Kita guru kategori yang mana?
Seimbangkah tarbiyyah kita?
Ke mana kita hendak membawa manusia?


Tazkirah Facebook 59 (Mac 5, 2013)

Awal pagi, elok kita niatkan : “Hari ini… aku akan fikir yang baik-baik, cakap yang baik-baik, buat yang baik-baik sahaja.”

Malam sebelum tidur… buat muhasabah : “Adakah hari ini aku berjaya fikir yang baik-baik, cakap yang baik-baik, buat yang baik-baik?”

Sejurus sebelum tidur niatkan lagi : “Aku akan fikir yang baik-baik, cakap yang baik-baik, buat yang baik-baik.” Mohon Allah jayakan niat murni kita ini.

Saranan kepada diri seperti ini dapat membantu dalam melakukan perubahan atau peningkatan diri. Ia dapat membentuk dan meningkatkan tenaga dalam. Boleh cuba.

Hari ini mungkin kita akan berbual dengan kumpulan rakan-rakan kita. Sejurus sebelum pergi duduk dan berbual dengan mereka, cuba niatkan : “Aku akan fikir yang baik-baik, cakap yang baik-baik, baik, buat yang baik-baik sahaja.” Tengok, diri kita boleh tahan tak daripada fikir perkara-perkara yang tak baik, cakap perkara-perkara yang tak baik, dan buat perkara-perkara yang tak baik ketika bersama-sama kumpulan rakan kita itu. Boleh cuba praktikkan.


Tazkirah Facebook 58 (Februari 19, 2013)

Menuntut ilmu dan berdakwah itu seumpama makan dan buang air.

Sebagaimana pada setiap hari kita mesti makan, mesti ada benda masuk ke dalam tubuh jasmani kita, seperti itu jugalah pada setiap hari mesti ada ilmu khususnya ilmu agama yang masuk ke dalam tubuh rohani kita. Sehari tanpa makanan, kita tak tertahan. Seperti itulah sepatutnya kita usahakan, tak tertahan sekiranya sehari tanpa input ilmu, khususnya ilmu agama.

Banyak jenis makanan masuk ke perut kita, tetapi makanan ruji mestilah ada. Jika rujinya beras, nasilah. Jika rujinya gandum, rotilah umpamanya. Jika rujinya jagung, jagunglah. Ilmu agama ialah makanan ruji kepada tubuh rohani kita. Kita tak sepatutnya berpuas hati sekiranya dalam sehari tiada ilmu-ilmu agama yang masuk, walaupun pelbagai makanan tidak ruji lain iaitu ilmu-ilmu lain sudah banyak yang masuk. Istiqamahlah dengan rutin sebegini.

Dakwah pula ibarat buang air. Ada sesiapa yang tidak buang air berupa air kecil, air besar ataupun berpeluh dalam sehari? Buang air ialah proses mengeluarkan sesuatu daripada dalam tubuh jasmani kita, dan ia mesti dilakukan pada setiap hari. Jika tidak dikeluarkan, tubuh kita tentunya kan berasa tidak sedap, tidak puas dan mungkin tidak sihat.

Semestinya dakwah begitu juga. Pada setiap hari hendaknya kita keluarkan sesuatu daripada diri rohani kita dan sebarkannya kepada orang lain, walaupun sekadar satu perkataan ataupun satu gerakan.

Pastinya kita tak sedap badan jika dalam sehari tidak makan dan buang air. Maka wajarlah berasa tak sedap badan (demam rohani) kalau sehari tanpa input ilmu dan output dakwah... mengikut kemampuan masing-masing.

"Ilmu dan dakwah itu ibarat makan dan buang air, yang setiap hari ia mesti masuk ke dalam diri dan mesti keluar daripada diri."

Tazkirah Facebook 57 (8 Februari 2013)

Ada kalanya fikiran kita berserabut, runsing dan jadi stress kerana kesalahan kita sendiri, iaitu kita suka sangat memikirkan rezeki orang lain, bukannya memikirkan rezeki kita.

“Huh, orang depan tu sambung rumah dia pulak dah! Nak buat tempat letak kereta kot. Entah dari mana le dapat duit tu!”

“Hah, orang macam dia tu boleh dapat kerja tu? Buta ke apa mata penemuduga tu. Baik lagi aku. Tak boleh jadi ni!”

“Entahlah macam mana dia boleh naik pangkat. Padahal ramai lagi orang lama yang belum naik. Jangan-jangan ada sesuatu tak……?”

‘Eh, engkau tak tahu ke si A pakai kereta baru? Koyak plastik lagi! Dengar kata dia banyak hutang, beli pulak kereta baru. Tu mesti berlagak kalau lalu depan kita tu!”

“Eleh, dia dulu pun teruk! Macam la orang tak kenal! Melepak tepi-tepi jalan, sembahyang pun tak! Tup tup sekarang dah jadi ustaz, berdakwah sana-sini. Tak payah la….!”

Begitulah contoh rezeki-rezeki orang lain yang asyik merasuk pemikiran kita, sehinggakan begitu banyak masa kita terbuang hanya untuk memikir dan mempertikaikannya. Akhirnya kita sendiri stress, kerja tak siap, tak cukup masa, letih dan lain-lain.


Bukan kata tak boleh langsung bersuara dan mengambil pelajaran daripada rezeki orang, tapi janganlah sampai fikiran kita terbeban pula memikirkan rezeki-rezeki orang lain sehinggakan kita stress. Biar cakap sekali lalu sahaja, lepas itu kita biarkan ia berlalu. Banyak lagi perkara bermanfaat yang boleh kita fikirkan.

Tazkirah Facebook 56 (Februari 8, 2013)


1.       Ada orang memperjuangkan dirinya sahaja.
2.       Ada orang memperjuangkan orang-orang yang disayanginya.
3.       Ada orang memperjuangkan keluarganya.
4.       Ada orang memperjuangkan masyarakatnya.
5.       Ada orang memperjuangkan negaranya.
6.       Ada orang memperjuangkan agamanya.
7.       Ada orang memperjuangkan umatnya.
8.       Ada orang memperjuangkan sejagat.

Yang mana yang kita perjuangkan, dan yang mana yang kita tinggalkan selama hari ini?
Kita lebih tahu diri kita.

Cukupkah sekadar kita perjuangkan  nombor satu sahaja?
Cukupkah sekadar kita perjuangkan nombor satu, dua dan tiga sahaja?

Apa akan berlaku kepada agama dan umat Islam jika semua umat Islam hanya mahu memperjuangkan yang nombor satu sampai nombor tiga sahaja?

Jika umat Islam lemah, kita lebih salahkan musuh. Jika umat Islam teraniaya, kita lebih salahkan musuh. Tapi adakah kita secara aktif menyumbang apa-apa kepada agama dan umat Islam?