Friday, September 6, 2013

Tazkirah Facebook 58 (Februari 19, 2013)

Menuntut ilmu dan berdakwah itu seumpama makan dan buang air.

Sebagaimana pada setiap hari kita mesti makan, mesti ada benda masuk ke dalam tubuh jasmani kita, seperti itu jugalah pada setiap hari mesti ada ilmu khususnya ilmu agama yang masuk ke dalam tubuh rohani kita. Sehari tanpa makanan, kita tak tertahan. Seperti itulah sepatutnya kita usahakan, tak tertahan sekiranya sehari tanpa input ilmu, khususnya ilmu agama.

Banyak jenis makanan masuk ke perut kita, tetapi makanan ruji mestilah ada. Jika rujinya beras, nasilah. Jika rujinya gandum, rotilah umpamanya. Jika rujinya jagung, jagunglah. Ilmu agama ialah makanan ruji kepada tubuh rohani kita. Kita tak sepatutnya berpuas hati sekiranya dalam sehari tiada ilmu-ilmu agama yang masuk, walaupun pelbagai makanan tidak ruji lain iaitu ilmu-ilmu lain sudah banyak yang masuk. Istiqamahlah dengan rutin sebegini.

Dakwah pula ibarat buang air. Ada sesiapa yang tidak buang air berupa air kecil, air besar ataupun berpeluh dalam sehari? Buang air ialah proses mengeluarkan sesuatu daripada dalam tubuh jasmani kita, dan ia mesti dilakukan pada setiap hari. Jika tidak dikeluarkan, tubuh kita tentunya kan berasa tidak sedap, tidak puas dan mungkin tidak sihat.

Semestinya dakwah begitu juga. Pada setiap hari hendaknya kita keluarkan sesuatu daripada diri rohani kita dan sebarkannya kepada orang lain, walaupun sekadar satu perkataan ataupun satu gerakan.

Pastinya kita tak sedap badan jika dalam sehari tidak makan dan buang air. Maka wajarlah berasa tak sedap badan (demam rohani) kalau sehari tanpa input ilmu dan output dakwah... mengikut kemampuan masing-masing.

"Ilmu dan dakwah itu ibarat makan dan buang air, yang setiap hari ia mesti masuk ke dalam diri dan mesti keluar daripada diri."

No comments:

Post a Comment