Thursday, October 4, 2012

Tazkirah Facebook 30 (Oktober 4, 2012)


Baca tazkirah, tidak mahu berfikir tentang isi kandungannya…….apalah erti?
Baca tazkirah, tidak merenung maksud yang tersurat dan yang tersirat…….tentunya rugi.
Baca tazkirah, sekadar untuk hiburan hati, bukan untuk mendapat lebih manfaat……memanglah ok tapi tak tercapailah matlamat yang dikehendaki.
Baca tazkirah, tidak ada tindakan segera atau tindakan lanjutan…….tazkirah itu sekadar melintas lalu pergi.
Baca tazkirah, tidak diulang-ulangi…..isi tazkirah akan hilang dari hati.
Baca tazkirah, tidak disebar-sebarkan kepada saudara-saudara kita yang lain……tazkirah itu mati.

Bacalah tazkirah……dan laksanakan le tindak susulnya : )
Semoga dirahmati Allah : )

Tazkirah Facebook 29 (Oktober 4, 2012)


Facebook (dan apa sahaja media kita) seumpama pakaian kita di depan orang ramai. Ia banyak membawa gambaran tentang pemakainya, sekalipun tidak 100% tepat. Maka kita kena berhati-hati.

Hiasilah ia dengan tudung perkongsian, bukan tudung keluhan. Nescaya orang tidak muak hendak melayarinya.

Pakaikan ia dengan kurung mendamai perasaan, tidak kurung melepas kegeraman. Nescaya orang berasa selesa melayarinya.

Serikan ia dengan kain panduan, kurangkan kain sindiran. Nescaya orang berasa aman di dalamnya.

Muliakan ia dengan jubah dakwah, sikitkan jubah hal-hal keduniaan. Nescaya orang mendapat manfaat daripadanya.

Kemaskan ia dengan serban pengajaran, usahlah serban tohmahan. Nescaya orang terfikir yang baik-baik tentangnya.

Maniskan ia dengan cincin tarbiyyah, hindarkan cincin sumpah seranah. Nescaya orang gemar menjenguknya.

Pamerkanlah selendang pertimbangan, jangan sesekali selendang ketaksuban. Nescaya orang memandang adil akan pemiliknya.

Solekkan ia dengan celak tazkirah, hindarkan memalit celak ammarah. Nescaya berpahala pemilik dan tetamunya.

Jumpa lagi… dalam Tazkirah Facebook ke-30. Insya-Allah.

Tazkirah Facebook 28 (Oktober 3, 2012)


Banyaknya sumbangan aku untuk agama dan umat Islam…….
Betulkah banyak?
Apa sumbangan kita kepada agama dan umat Islam? Apa USAHA kita?

Sudah berapa ramai yang tidak berminat dengan agama, sudah kita berusaha minatkan?
Berapa ramai yang tidak ghairah untuk beribadah, sudah kita ghairahkan?
Sudah berapa orang yang tidak mengerjakan solat, sudah bersolat melalui usaha kita?
Lelaki yang sengaja tidak pergi solat berjemaah, semakin rajin ke tempat berjemaah?
Berapa ramai pula yang tidak membaca Al-Quran, sudah membacanya setiap hari?
Yang tidak minat berdakwah sudah berdakwah?
Yang belum sempurna menutup auratnya sudah disempurnakan?
Yang menolak atau takut akan hukum-hakam Islam sudah jinak dan mesra?

Yang tidak mengenal Tuhan sudah kita kenalkan?
Yang selama hari ini tersalah sembahan atau tidak tepat sembahannya sudah kita betulkan dan tepatkan?
Yang sebelum ini tidak muslim, sudah muslim melalui tangan kita?

Dan yang paaaling penting…
Sudah berapa orangkah orang Islam yang belum selesai fardhu ‘ainnya (iaitu ilmu mukasyafah dan ilmu mua’malah) sudah kita bantu selesaikan?

Muhasabah semula kerja-kerja kita selama hari ini. Ke mana sebenarnya kita hendak mengajak dan melorongkan manusia? Masa yang kita ada tidak banyak. Pastikan ia digunakan dengan jimat dan berkesan.

Tazkirah Facebook 27 (Oktober 2, 2012)


Umumnya manusia suka ambil agama separuh-separuh. Mana yang menyedapkannya diterima dan diperjuangkannya, mana yang dirasanya tak sedap dengan dirinya, ditolak ke tepi, kadang-kadang dimusuhi pula. Bukankah sewajibnya kita mengambil agama itu keseluruhannya? Bahkan semestinya kita perjuangkan keseluruhannya isi agama itu?


Selama hari ini kita ambil keseluruhan ke ataupun kita pilih-pilih bab yang buatkan kita rasa selesa sahaja? Yang kita rasa tak seronok, tak sedap, tak dimuliakan oleh orang lain... maka kita buat tak nampak, menolak daripada memperjuangkannya. Yang mana yang beri kita keseronokan, sedap, dipandang hebat... maka barulah kita perjuangkannya? Agama itu syumul, ambillah keseluruhannya sekalipun tak seronok, dikata orang, pahit...

Kalau kiita berkahwin, kita mahu seluruh diri pasangan kita ataupun nak separuh-separuh? Kalau kita dapat anak baru lahir, nak seluruh anak ataupun nak separuh-separuh?

"Err... tok qadhi, saya nak seluruh pasangan saya kecuali bahagian ketiak dan tapak kaki." Boleh ke?
"Errr.. doktor, saya nak keseluruhan bayi saya tapi saya tak mahu pusat dan saluran buang najis." Boleh ke?
Renung-renung, muhasabah diri.... dan yang paling penting ialah bertindak.

Tazkirah Facebook 26 (September 23, 2012)


Ilmu itu mulia, maka hati yang hendak menerimanya tentulah kena mulia juga. Maka berusahalah kita untuk membersihkan dan mencantikkan dalaman diri kita, iaitu sang hati. Dalam agama, diri kita yang zahir kena bersih, diri kita yang batin pun kena bersih. Apabila hati kita semakin bersih, ilmu-ilmu dan yang paling penting iaitu ruh ilmu-ilmu itu dengan mudah dan banyak akan masuk ke dalam hati kita.

Saluran paip yang bersih, akan membekalkan air yang bersih dalam jumlah yang banyak ke rumah kita. Ia membawa manfaat kepada seluruh isi rumah. Airnya juga tulen.

Saluran paip yang penuh benda-benda asing, akan sempit laluan airnya, sedikit dan kotor pula air yang sampai ke rumah kita. Ia boleh membawa mudarat kepada seluruh isi rumah, sama ada secara terus ataupun secara lambat-lambat.

Cawan yang bersih, apabila dituangkan susu ke dalamnya, akan penuh dengan susu yang putih warna dan asli rasanya.
Cawan yang berkarat dengan saki-baki serbuk kopi, apabila dituangkan susu ke dalamnya, akan penuh dengan campuran susu dan kopi yang keruh warna dan entah apa-apa entah rasanya, bukan rasa susu yang asli lagi.

Begitulah hati kita.