‘Ilmu yaqin, ‘ainul yaqin,
haqqul yaqin.
John di Amerika diberitahu
bahawa di Malaysia ada sejenis makanan namanya sambal tumis petai. John
percaya, walaupun dia belum pernah melihat atau merasanya. Pengetahuan dan
kepercayaan John ini diperingkat ‘ilmu yaqin. John tahu dan percaya kewujudan
sambal tumis petai melalui kata-kata orang. Tapi jika diletakkan 10 jenis
lauk-pauk di depan John dan diminta dia menunjukkan yang mana satu sambal tumis
petai, pasti dia tidak dapat menunjukkannya.
Kemudian John datang ke Malaysia lalu ditunjukkan kepadanya
sambal tumis petai. Pengetahuan dan kepercayaan John terhadap sambal tumis
petai ketika ini sudah diperingkat ‘ainul yaqin kerana dia sudah melihatnya
sendiri. Namun begitu, jika diletakkan 10 pinggan lauk-pauk yang rupanya
seperti sambal tumis petai bersama-sama sepinggan sambal tumis petai di
depannya, John masih boleh tersilap tunjuk kerana dia belum pernah merasai
sambal tumis petai itu.
Selepas itu John
merasa/memakan pula sambal tumis petai itu. Ketika itu ilmunya sudah pun naik
ke peringkat haqqul yaqin, kerana John bukan setakat tahu dan lihat, bahkan
sudah pernah merasainya. Ketika diletakkan 10 pinggan lauk-pauk di depannya,
dengan mudah John boleh memilih yang mana satu sambal tumis petai tanpa
tersilap lagi.
Beginilah kita hendaknya
dalam beragama. Kita menyembah/berabdi kepada Allah biarlah sampai ke peringkat
haqqul yaqin. Ketika itu sudah pastilah kita tidak akan tersalah sembah.
Sembahan kita tepat. Kita menyembah Allah Yang Esa, bukannya tersembah makhluk
ataupun tersembah Allah yang bercampur dengan makhluk. Makhluk mana pun yang
mengaku sebagai Allah kepada kita, kita boleh menyaringnya dalam masa 1 saat
sahaja tanpa ragu-ragu, tanpa perlu berfikir : “Ini Allah ke bukan ye?”
No comments:
Post a Comment