Beri sehelai kertas kosong
dan sebatang pen kepada anak atau adik kita. Beri dia masa dua minit, minta dia
tuliskan nama-nama artis atau ahli sukan yang dia ingat. Cukup dua minit, semak
senarai yang dia buat. Biasanya penuh muka surat dan tak cukup waktu menulis.
Begitulah keupayaan generasi muda hari ini.
Beri sehelai kertas kosong
dan sebatang pen kepada anak atau adik kita. Beri dia masa dua minit, minta dia
tuliskan nama-nama ulama yang dia ingat. Cukup dua minit, semak senarai yang
dia buat. Biasanya banyak ruang kosong dan senarainya pendek. Tidak sampai
setengah minit, dia sudah tidak tahu apa yang hendak ditulis. Kadang-kadang
nama ustaz ustazah yang bukan ulama pun ditulisnya juga. Begitulah keupayaan generasi
muda hari ini.
Ambil sehelai kertas
kosong dan sebatang pen. Dalam masa dua minit, KITA PULA cuba senaraikan
nama-nama artis atau ahli sukan. Dapatkah kita memenuhkan helaian kosong itu?
Insya-Allah mudah sahaja. Begitulah keupayaan generasi tua hari ini.
Kemudian… ambil sehelai
kertas kosong dan sebatang pen. Dalam masa dua minit, KITA PULA cuba senaraikan
nama-nama ulama. Dapatkah kita memenuhkan helaian kosong itu? Begitulah
keupayaan generasi tua hari ini.
Dengan generasi tua dan
generasi muda yang rata-ratanya sebegini, kita sudah boleh mengagak keupayaan
generasi umat Islam yang akan datang. Adakah kita hendak membiarkan sahaja
keadaan sebegini berterusan?
Perubahan bermula pada
diri sendiri. Jangan hanya berharap orang lain untuk berubah, melainkan kita
sendirilah yang mesti berubah terlebih dahulu. Dan … perubahan itu mestilah
bermula dari sekarang!
No comments:
Post a Comment